Tuesday, 5 April 2011

Sebuah Bicara

            SERINGKALI ketika kaki ini memijak kota ini, kota yang telah sarat menyimpan kenangan kita, ketika itu jugalah memori ingatanku memutarkan irama rindu, suka dan bahagia ketika berada dalam dakapan cintamu Ar. Meskipun lewat usiaku kini yang lebih layak digelar nenek. Aku seakan tidak percaya dalam kepayahan menempuh ranjau hidup tanpa cintamu, masih termampu menyimpan seribu kenangan bersamamu.  Tetapi sehingga kini aku masih belum  memahaminya, tanpa apa-apa alasan tiba-tiba saja aku mendapat berita bahawa kau telah bergelar ayah. Kenapa Ar? Apa salah dan dosaku? Seandainya ketika itu aku telah berlaku silap, mohonlah penjelasanku. Kau tau Ar, suatu ketika lewat dua puluh empat tahun yang lalu setelah aku lelah meniti hari-hari gilaku lantaran apabila saja celik mataku ini yang terpampang diruang mataku hanya bayanganmu, namamu mengukir di setiap sudut jiwa, cintamu berhembus bersama nafasku, bisik lembutmu berdesir bersama hembus bayu. Ah! terlalu indah Ar, sungguh indah sehingga apapun yang kuamati ketika itu adalah satu keindahan.. Lantaran rasa terseksaku. dengan perasaan ini, lalu aku memutuskan aku ingin membuangmu jauh dari sudut hatiku, aku bersumpah bahawa besok paginya aku akan menghapuskan apa saja bentuk kenangan dan juga menghapuskan namamu yang sentiasa terpahat di segenap jiwa ragaku. Aku kira aku telah berjaya, apabila setiap kali kenangan mengelus lembut hatiku aku menepisnya dan terus membuangmu jauh dari sudut hatiku. Setiap kali irama rindu membisik ke telingaku aku pura-pura tidak mendengar dan aku memutarkan irama yang lain. Bukan iramamu Ar. Bukan irama cinta kita.
Senja  11 Febuari 2005 sekali lagi aku menyusuri titian kenangan dan jalur-jalur cinta kita di tepian jalan ini, apabila seorang teman membawaku bersiar-siar, keretanya memasuki perkampungan Takuli, dan menyusur jalanraya dari Pekan Beaufort ke Menumbuk, aku terpukau dengan suasana desa yang cantik dan permai, pembangunan prasarana, projek pembangunan yang di bina kerajaan menjadikan aku bangga selaku rakyat Malaysia. Berbagai-bagai kisah diceritakannya padaku setelah sekian lama kami tidak ketemu. Tapi dalam aku mendengar ia bercerita aku sebenarnya sedang nanar dan parah, kau benar-benar telah hadir dalam diriku Ar. Aku dapat merasakan semula gelora cinta kita sedang membakar diriku. Seolah-olah liuk lintuk rerumput di tepian jalan sedang melambaikan tangan padaku menyaksikan keasyikkan berahiku berada disisimu Ar. Temanku menyedari aku tidak memberi perhatian pada perbualan kami, dia menepuk pahaku membuatkan kau terlontar jauh Ar.
“ Apa ni!? Kau tau, kau membuatku melepaskan Ar dalam dakapanku tadi. Kau kejam Mi.” Tawa Mi berderai memecahkan keheningan suasana senja itu.
“ Tiada sesiapa lagikah dalam igauanmu selain dirinya? Kenapa kau menjadikan dirimu berada dalam suatu mimpi?.
“Aku tidak dapat menyimpan cinta orang lain dihatiku Mi selain cinta Ar.”
“Dia kini sedang di puput rona kebahagiaan dengan isteri, anak-anak dan mungkin cucu-cucunya. Kau tau itu kan.” Katanya memang benar Ar. Aku mungkin satu cebisan perca kain yang reput di tepian sampah sarap dalam hidupmu yang langsung tidak bermakna apa-apa. Hanya aku yang masih menyimpan kukuh ingatan ini, hanya aku yang mendakap erat rasa cintaku ini Ar. Hanya aku. Sekilas mataku menyapa sebuah papan tanda ` Limbawang Enterpise ‘ berdarah lagi hatiku. Aku sangat kenal nama itu. Nama sebuah desa yang mengukir indah di hatiku. Nama desamu Ar. Aku pasti desamu itu masih setia menyimpan  memori cinta kita. Tenang air di kali tempat kita bermandi manda, mungkin masih menyimpan impian dan rinduku ini,  tempat aku memungut ikan yang kau dapat ketika memancing, ketika itu kau mendekatiku dan  membisikkan padaku tatkala aku mencangkung dengan keasyikan memerhatikan ikan-ikan yang kita kumpul itu.
 “Kau ratu hatiku, akan ku angkat kau menduduki pelamin, kaulah yang berhak duduk di atas pelamin rekaanku nanti.” Bisikmu. Aku hanya tersipu-sipu sedang jauh di sudut hatiku betapa bahagianya aku, lalu aku  memandang jauh ke dalam matamu, mata yang redup basah lambang kerinduanku hingga kini. Kau mengucup dahiku dalam kehangatan kasihmu, aku seperti merasakan kucupan itu hingga kini. Hingga kini Ar. Aku.merasakan saat bahagia kita tersipu-sipu apabila teman-teman memancing ketika itu pura-pura terbatuk, kenakalan Him dan Ita  yang sering mengusik, semuanya bagai berulang tayang dalam memoriku.
Melewati jangkamasa dua puluh enam tahun yang lalu, aku ingin mengisahkan satu kekuatan pesona cintamu Ar, pada suatu petang di desaku yang amat terpencil di pedalaman, aku mencuba tenagaku membelah kayu api dengan sebilah kapak, memangpun kerja itu aku tidak pernah melakukannya hanya sekadar mencuba,  tanpa kuduga aku telah mengapak kakiku sendiri tetapi dalam saatku kesakitan aku terlihat adikku yang baru datang dari menjenguk kotak pos di desaku,  mengibar sehelai sampul yang aku kenal pasti sampul suratmu Ar, ketika itu juga aku terlupa kakiku yang sedang mengalir darah merah. Aku mencapai suratmu dan terus membacanya, aku terlupa akan kecederaanku. Aku tersedar semula apabila ibuku menjerit terlihat akan darahku yang banyak mengalir. Betapa tingginya kuasa rasa bahagiaku ketika itu Ar, hingga boleh membuatkan aku terlupa akan alam sekelilingku, sehingga aku tidak merasakan sakitnya kakiku yang cedera. Ini bukan dongengan Ar, seandainya racun yang diberi minum padaku ketika itu, mungkin menjadi madu jika dikatakan itu adalah pemberian darimu. Itu cerita dua puluh enam tahun yang berlalu Ar. Betapa bahagianya ketika itu meskipun hanya surat cintamu yang datang saban minggu, tidak seperti pada ketika ini perhuhubungan dengan telefon memudahkan insan seperti kita bercengkerama.
Saat ketika aku berlegar-legar dalam ruangan pameran di Pasar Seni Negara di ibu kota dua puluh empat tahun berlalu, aku tertarik dengan sebuah pinggan seramik berukir. Lalu ku pinta penjual menulis namamu dengan tinta emas dengan tulisan yang sungguh cantik, kau tidak tahu Ar untuk apa pinggan itu? Aku ingin kaulah insan pertama yang menggunakannya, aku ingin menyenduk nasi , nasi sendukan pertama yang akan kusuapkan ke mulutmu, lambang kebahagiaan seorang isteri. Lambang cintaku Ar. Sungguh Ar, meskipun harganya tidak semahal kristal, tapi jangan kau ukur dari harganya tapi penghargaan dan penerimaan makna yang tersirat. Kau tau Ar, aku juga  ingin menghadiahkanmu sebuah  pinggan emas  yang bakal ku letakkan makanan pertama, pada saat pertama aku menjadi permaisurimu, pada saat aku menjadi pengurus dapur istanamu, istana kita Ar, tapi aku tidak dapat memilikinya seperti mana aku tidak dapat memilikmu.
Detik sekilas bahagia menjelma dalam dakapan tahun 1987, suatu saat yang tidak terduga hadirnya. Setelah tujuh belas tahun kita terpisah. Kita diketemukan Ar, aku tidak menduga bahawa kau juga salah seorang daripada tetamu jemputan khas dalam majlis itu. Dalam kesamaran lampu dan alunan muzik sentimental aku seakan tidak percaya apabila memandang hayunan langkahmu sedang menuju ke arah mejaku ketika itu. Gerak tubuh dan langkah kakimu masih milikmu yang terindah dalam mataku. Masihkah kau mengingati detik itu Ar? Kau bertanyakan bagaimana aku? Apa khabarku? Sihatkah aku? Masih hadirkah namamu dalam ingatanku? Aku hanya tersenyum dan pura-pura tidak merasakan gelombang yang membuai diriku sedang terbang menuju ke benua lain. Aku merasakan tidak jejak di bumi nyata.  Aku tidak dapat mencetuskan walau sepatah kalimat dari bibirku. Aku memelukmu dan mendakap erat sambil terhidu aroma tubuhmu yang seringkali membuatkan aku merinduimu apabila terhidu wangian kesukaanmu ini Ar. Aku menangis sepuas-puasnya. Kau mengelap airmataku, kau membelai rambutku yang tidak terurus kini, kau sentuh lembut pipiku Ar, kau selak rambutku yang melekat dipipiku kesan basah  airmataku. Aku tunduk dan membenamkan wajahku di dadamu. Dengan lembut kau mendakap erat tubuhku seakan tidak mahu melepaskan. Rinduku saujana lautan tidak dapat dihapuskan oleh detik pertemuan sesingkat itu. Aku merasa degup dan getarnya jantungmu Ar, Ya Tuhan, aku terdengar irama jantungmu seolah-olah sedang berbisik memujukku.   “ Kau jangan menangis sayangku, aku datang kini untukmu, aku datang menunaikan impian kita yang tertunda.”  Aku mendongak dan menatap wajahmu, jantungku tertusuk oleh panahan matamu Ar, mata yang redup basah bersinar layu lambang kerinduanku selama ini. Entah kali yang ke berapa aku mengulangi tentang matamu Ar. Sungguh ini bukanlah satu pendustaan.
“ Kau terpukaukah menatap jejaka handsome ni?”. Bisik teman di sebelahku di majlis Makan Malam Bersama Tok Mat pada malam yang penuh bersejarah itu.  Kejam! Terlontar lagi kau Ar dalam dakap khayalku.  Itulah penjelasannya Ar kenapa aku seakan kehilangan kata-kata ketika itu. Kenapa aku bersahaja memandangmu, seolah-olah pada malam itu aku baru mengenalimu. Ketahui olehmu Ar, saat itu adalah satu saat penyeksaan bagiku, bayangkan aku terpaksa berpura-pura dan makan bersama tetamu lainnya, sedangkan menahan kepedihan, meleleh airmata dihatiku Ar.  Dewan Makan Teratai Room Kinabalu Hyatt Hotel  menjadi saksi pada malam itu kita duduk seiring di sebuah meja bulat. Aku sesungguhnya benar-benar mendamba satu saat kau menyenduk makanan untukku, saat kau yang memilih makanan untukku Ar. Seperti yang kau sering lakukan saat kita meniti hari-hari yang manis suatu ketika dulu. Tapi malam itu kita berdua menjadi kaku seperti patung. Mesramu tujuh belas tahun yang lalu telah di mamah usia zaman, hilang di telan kabus perubahan.. Aku bagai mengunyah, menelan batu dan pasir, makanan yang terhidang hilang lazatnya. Meskipun pada malam itu kau tidak bersama pasanganmu dan begitu juga aku.
Dua puluh empat tahun berlalu gelaran sebagai isteri telah kupertahan meskipun aku bernafas tanpa cinta, tanpa cintamu Ar, aku menjalankan tanggungjawabku sebagai isterinya selayaknya. Namun aku masih berada di alam mimpi. Aku tidak dapat menghapuskan kau dalam hidupku.
“ Apa lagi yang kau tunggu? Kau tunggu putera raja datang melamarmu?”Anak-anak buahmu perlu mama, tiada yang layak menggantikan kakakmu, dalam keluarga kita kaulah yang layak, jadi kau tunggu siapa!? Kata-kata ibu yang keras sering terdengar hingga kini.
“ Kakak sudah meninggal mama, tidak perlu pengganti, lagi pun aku telah menjaga anak-anaknya seperti anak  sendiri. Suruh saja ayah mereka cari isteri lain, kakak tidak akan hidup semula.”
“ Eh belum ada dari keturunan kita yang membelakangi adat, kita yang perlu mencari pengganti kakakmu.”
“ Kenapa pula aku yang jadi mangsa pengganti?”
 “ Kau mesti juga terima ayah budak-budak tu.”
“ Tidak mau mama, dulu dia abang ipar, takkan selepas ini jadi suami pula. Tidak mungkin, tidak boleh jadi. Aku tidak setuju!”
Ketika menghadap hidangan malam itu, ibu mempamerkan wajah mencuka kepadaku kerana sikapku yang membantah keputusannya. Malam itu aku meratapi nasib diriku Ar. Aku tidak pasti sama ada aku berbangga menjadi suku salah satu etnik di Sabah yang masih memelihara ketulenan adat ini Ar. Kesal sentiasa menyelubungi diri kerana adat itu terkena pada diriku sendiri. Mungkin tidak akan begini nasibku jika istana impian kita  telah terbina. Rasanya malam itu aku banyak menumpahkan airmata. Hingga bila berakhir penyeksaan ke atasku? Sungguhpun begitu aku merasa terhibur dengan telatah anak-anak buahku Ar, aku hanya boleh membayangkan bahawa itu adalah anak-anak kita, aku melihatmu menampar lembut punggung Ni yang membuat nakal, melompat dari sebuah kerusi ke sebuah kerusi di ruang tamu, sedang aku duduk di sisimu, memerhatimu dengan penuh kasih. Akulah seorang isteri yang teramat bahagia disampingmu Ar.
“ Mama sudah siapkan semuanya.  Kau tidak perlu urus apa-apa.” Entah berapa ukuran kasih ibuku yang tercicir, membuatkan kau hilang di sisiku dan sekaligus menyeksaku kerana membuat keputusan untuk hidupku.
            “ Tunggulah aku mencari kerja dulu mama.” Itukah rayuan yang mampu menjadikan ibu bersimpati? Tidak Ar. Malah alasan itu  menjadikan ibu membuat keputusan untukku. Aku tidak layak membuat keputusan untuk diriku Ar. Aku hilang hak atas diriku apabila aku sentiasa berada di rumah dan menjadi tukang masak selepas menduduki STPM yang tidak mendapat gred lulus penuh. Malah segala keperluanku hanya berharap wang saku yang diberikan oleh abang iparku kerana menjaga anak-anaknya. Dia terlalu baik, memahami keperluan seorang gadis seperti aku. Dia juga seorang yang bersimpati, setiap hujung minggu dia akan bertandang ke rumah melawat anak-anaknya dalam jagaanku. Abang iparku juga tahu Ar, aku mencintai seorang jejaka tanpa mengetahui bahawa kau lah insan yang bertahkta dihatiku Ar. Insan yang sentiasa segar dalam ingatanku.
Rentik hujan yang menitis di hujung atap, kemudian jatuh satu demi satu ke bumi, di selangi deru petir, sesekali membingitkan suasana, kilat yang sesekali menyambar menerangi suasana yang kelam, alam sekeliling redup, sepi dan sunyi, mendung menyelubungi suasana adalah satu pesta bagiku, terlalu indah bagiku hanya dengan mengingatimu Ar. Bunyi jam berdenting tiga kali yang tergantung di sudut dinding menandakan malam kini menjelang dinihari, tapi mataku saban malam segan disapa rasa mengantuk. Malam-malam yang sunyi bagi sesetangah insan hanya kedengaran detik jam dan suara lolongan anjing di kejauhan adalah malam yang meramangkan bulu roma, tapi bagiku semua itu satu keindahan, aku seolah-olah sedang tidur bertilamkan hamparan rindu, kau tau kenapa Ar, semua suasana bertukar indah jika aku mengingatimu. Panas terik akan bertukar redup, angin yang bertiup kencang sesekali diikuti bunyi yang menderu akan bertukar menjadi tiupan sepoi-sepoi bahasa hanya dengan mengingatimu Ar. Mungkin disebabkan rumah ayahku dibina berhampiran tanah sawah. Maka setiap senja, sebelum malam melabuhkan tirainya, menjadi kesukaanku duduk di permatang sawah hanya kerana ingin melihat keindahan persekitaran yang tenang dan daun-daun kelapa yang melambai-lambai lembut hasil tanaman ayah sering mengusik pandanganku Ar, seolah-olah lambaian tanganmu, irama yang terbit dari liuk lintuk dedaunan di sekeliling seolah-olah irama gemersik cintamu yang datang melayang membawa rindumu Ar.  
“ My Dear, jangan kau tagih walau secebis rasa cintaku untukmu, hanya aku boleh menyayangimu, seperti aku menyayangi anak-anakmu.”  Itulah luahan terus terangku pada suamiku dua puluh empat tahun yang lalu Ar. Aku tidak dapat menolak takdir diriku yang ditentukan oleh orang tuaku.
“ Asal kau boleh belajar mencintaiku, aku akan menunggu cintamu.” Aku melihat sinar kesabaran terpancar di wajah suamiku,  hingga kini Ar, dia seorang suami yang penyabar dan penyayang. Tapi entah kenapa aku tidak dapat melupaimu hingga kini Ar.
Tetapi aku masih tidak mengerti Ar, seorang lelaki gagah menitiskan airmata di depanku ketika aku benar-benar tidak berdaya berbuat apa-apa selain memandangnya dengan goresan kehampaan membelah dadaku. Entah apa lagi yang dapat aku perkatakan Ar, setelah sekian tahun tanda tanya dalam hatiku sentiasa bersarang tentang apa dosa dan kesalahan yang telah ku lakukan sehingga kau membiarkan aku terbakar dengan rasa cintaku ini, kau muncul pada petang itu ketika aku sedang membersihkan halaman rumah, ketika anak-anakku semua tidak ada di rumah, ketika ibuku sedang sibuk di dapur, kenapa kau mencariku setelah sekian tahun? Bagaimana kau tahu rumahku? Angin Timur Lautkah yang melanda jiwamu hingga bertahun berlalu baru kini kau datang memberi penjelasan.? Tentu kau masih ingat Ar petang yang kelabu itu baru saja berlalu?
            “ Maafkan aku, selagi aku tidak memohon maaf darimu, aku tidak pernah tenang. Aku tidak berniat melukaimu. Kaulah satu-satunya yang masih bertakhta dihatiku. Aku berkahwin tapi dengan satu cerita panjang yang terlalu sukar untuk orang lain mengerti, percayalah sayangku. Aku kini datang dengan satu harapan agar kehadiranku ini mampu membasuh luka mu selama ini.”  Mampukah sebuah kata maaf mengembalikan segalanya dan bermula seperti dulu Ar? Mampukah?
“ Mama terlalu jauh melayang, kemana tu?” Anak lelaki sulungku yang kini mencecah usia dua puluhan rupanya memerhatiku. Kematangannya terserlah setelah kepulangannya dari pengajian di sebuah sekolah luar negara.
“ Mama tau sekarang Epy sedang di lamun cinta”
“ Oh, jadi sebab itukah mama jauh melayang tadi?” Anakku tersenyum memandangku, dan tanpa berselindung dia mengangguk.
“ Pernahkah Epy melihat lambaian daun kelapa seperti lambaian tangan insan yang kita sayang?” Aku memandang wajah anakku.
“ Tidak pula sampai ke situ.”
“ Deru air yang sedang mengalir, adakah terasa keindahannya, seolah-olah suaranya sedang membisik ke telinga Epy?”
“ Tidak pernah pula Epy kaitkan dengan keindahan alam.”
“ Mama merasakan semua itu, ketika mama sedang dilamun cinta dengan seseorang suatu ketika dulu.”
“ Dengan papa ya?” Anakku memandang aku seraya tersenyum.
“ Tidak, dengan insan lain”.
“ Wah, hebat ya rasa cinta mama. Tapi sekarang papa yang memiliki rasa cinta mama itu kan.” Aku menggeleng kepala, hanya itu yang termampu kubuat.
“ Mama menyayangi papa dan kamu semua, tapi rasa cinta mama ini tidak pernah terhapus di hati mama.”
“ Terlalu baikkah  dia sehingga mama meletakkan harapan mama terlalu tinggi?”
“ Bagi mama dia yang terbaik.”
“ Itu satu kesilapan mama menduga masa depan, bagaimana mama pasti boleh bahagia jika bersamanya?” Anakku melihat jauh ke dalam mataku sambil menggenggam jari jemariku.
“  Mama akui ayahmu adalah seorang lelaki terbaik yang Tuhan anugerahkan untuk mama. Cuma setiap kali mama berusaha untuk mengikis kenangan masa lalu mama, semakin jelas ingatan manis mama, kadangkala meruntun hingga menyebabkan mama mengalirkan airmata.”
“ Tidak usah di tangisi nasib malang yang menimpa mama, kerana airmata darah mengalirpun tidak menghanyutkan rasa derita mama. Mama kena menyerahkan pada Qada dan Qadar. Ini ketentuan Allah mama. Kita ada persepsi tersendiri tentang cinta, cinta itu mama boleh resapkan dalam mencintai pencipta kita. Sesungguhnya mama beruntung kerana mama pernah merasakan keindahan cinta yang tiada tolok bandingnya di dunia ini. Mama pindahkan keindahan cinta mama itu dengan mencintaiNya, Insya Allah boleh mama.”  Anakku mengusulkan.
Petang Ahad itu yang di hiasi pelangi selepas hujan lebat menyapu wajah alam menjadikan persekitaran nampak segar , sisa-sisa air masih mengalir dalam longkang di hadapan rumah. Bunyi deru air masih hinggap ke telinga. Sisa-sisa air hujan masih menitis di hujung daun, bunga-bunga yang meliuk lembut di tiup bayu terasa dingin. Kedinginan terasa menyapu wajahku. Aku memandang jauh ke hadapan terpampang sebuah bukit yang menghijau berbalam-balam kerana sebahagiannya di selaputi kabus. Sepi, kaku  dan kosong, sesepi hatiku. Aku beralih menghampiri tingkap dan mengelap sebutir air yang masih melekat di sudut cermin terasa dingin di hujung jari, sedingin tangan mongel anak-anak buahku yang minta di belai ketika mereka masih kecil, yang memerlukan kasih sayang seorang ibu. Terbayang mata bening mereka yang tidak berona meluruhkan simpatiku, aku mengucup seorang demi seorang. Tapi kini mereka telah dewasa. Ya Allah! Terlalu cepatnya masa berlalu, tanpa kusedari aku telah mensia-siakan kehidupanku. Aku tunduk memandang lantai, terlihat hujung kaki kini yang telah kecut yang di mamah usia yang dahulunya pejal dan gebu.. Aku mengerti kini,  aku telah meninggalkan usia mudaku dan sedang meniti detik menjelang tua dan menunggu waktu  kembali kepadaNya.
Aku benar-benar terkedu dengan penguteraan anakku, betapa aku mensia-siakan perasaanku selama sekian tahun hanya pada seorang insan yang tidak membawa apa-apa makna buat diriku. Memang benar kata anakku. Apapun semuanya harus kembali kepada pencipta iaitu Allah, yang mengurniakan nafasku, yang mengurniakan penglihatanku, yang mengurniakan jantungku, yang mengurniakan kaki dan tangan, yang mengurniakan seluruh jasad dan ruhku, aku lupa. Aku menjadi alpa hanya kerana cinta pada seorang yang digelar lelaki.  Aku lupa akan rezeki dan nikmat hidup yang Allah kurniakan selama ini.
“ Ya Allah, ampunilah hambamu yang amat berdosa ini. Ampunilah segala dosa yang telah ku lakukan sepanjang hayatku.” Suara hatiku menjalar ke seluruh urat nadiku memohon keampunanNya.
Aku bersyukur dengan segala nikmat dan rezeki yang telah Allah kurniakan selama aku menyedut udara kurniaanNya.  Belajar mencintaiNya dan istiqamah adalah nilai keindahan yang tidak dapat ditukar ganti kini dengan rasa cinta  yang ada di dunia ini, menghargai segala yang ada di sekelilingku. Menghargai sekitar alam kurniaan Tuhan dan segala yang menghuninya, aku tidak merasakan lagi bahawa aku seorang sahaja yang bernafas di muka bumi ini. Aku tidak merasakan bahawa aku menderita. Rasa derita itu hanya wujud bila kita mengatakan pada diri kita bahawa kita menderita  Ada lagi makhluk Allah yang lebih menderita daripada kita. Aku amat berterima kasih kepada ibuku, kerana setiap ibu sentiasa melakukan yang terbaik untuk anaknya, pengorbanan seorang ibu tidak dapat di nilai walau pun dengan bandingan segunung emas. Kini aku sentiasa mendoakan agar ibuku di kurniakan kesihatan yang baik dan semoga usianya di lanjutkan lagi dan dapat menyaksikan telatah cicit-cicitnya pula pada waktu yang akan menjelang kelak. Aku juga mendoakan agar ruh ayahku tenteram di alam Baqa dan mendapat keampunan dari yang Maha Kuasa.

                                                        S  E L E S A I
p/s: Tyon..mindahu ko ra rahu taka nu angumin ko poh..hehe

No comments:

Post a Comment