Thursday 7 April 2011

Cerpen Minggu Ini:

                                           UNTUK SEBUAH NAMA 


INILAH kepahitan yang sering kulalui saban detik setelah aku membuat keputusan memilih ketentuan dalam hidupku. Penyeselankah yang melanda jiwaku? Atau sifat cemburukah yang mempengaruhi perasaan ini? Apa tidaknya, setiap waktu begini dengan sendirinya aku terpaksa melepaskan insan yang aku kasihi meskipun teramat pahit untuk ditelan. Namun kepahitan yang aku rasai terasa manisnya ketika Yus berada disisiku. Itulah penawar pada setiap rasa terlukaku ini.
“Yang amat berat abang meninggalkanmu, tapi terpaksa. Tugas”. Mungkin hanya kata-kata yang  diungkap sebagai penawar lukaku, ataupun ia diungkap tanpa menyedarinya yang aku ini terluka,   lalu memandang tepat ke anak mataku. Aku terpukau kaku.
 “ Tugas atau memang jadual hidup yang telah di atur sayangku.” Bantah hatiku. Tiada kalimat yang terkeluar dari mulutku. Aku hanya mampu mengukir senyuman.
“ Kau tidak tahu sayang, betapa abang  menyayangimu, abang senang berada disampingmu.” Luahnya perlahan. “ Kalau nyawa sekali pun sayang pinta akan abang berikan . Jika perkara itu mampu abang lakukan.” Yus merenungku dengan senyum yang tidak pernah lekang menghias bibirnya.
“ Pergilah bang. Nanti terlambat pula.” Sambil membetulkan kolar baju Yus  dan mendongak memandang wajahnya yang menjadi lambang kerinduanku selama ini, tetapi terlalu berat untuk melepaskan, sedangkan untuk menelan air liur pun terasa kelat.

Apa tidaknya pemergiannya ini bukanlah untuk bertugas tetapi menjalankan tanggungjawab sebagai suami. Memenuhi jadual untuk isteri pertama. Mungkin kerana  aku hanyalah insan yang baru hadir dalam hidupnya, terpaksa akur dan belajar menerima hakikat ini. Sentiasa mempamer wajah yang dibuat secerianya, sedangkan  jika dibelah dadaku ini  memang sudah tidak dapat menampung untuk menyimpan rasa lukaku ini.
Berkurun rasanya waktu berlalu, aku bagai menanti kehadiran Yus. Tapi bukan niatku untuk menanti mungkin cuma satu kebetulan kerana selama itu aku tidak bertemu jodoh. Bukan tidak ada insan lain yang ingin cuba mendampingiku, tetapi seperti ada sahaja kekurangannya jika aku mencuba memulakan sesuatu hubungan dengan setiap jejaka.  Tetapi apabila Yus hadir dalam hidupku tanpa berfikir sedalamnya, kami bina sisa-sisa impian yang tertunda lewat janji yang termetri bersama satu ketika dulu, tetapi perpisahan dulu tidak boleh salahkan Yus dan begitu juga aku. Meskipun tindakan aku dan Yus untuk mendirikan mahligai impian kami  mendapat tentangan  dari kedua orang tuaku, tetapi akhirnya mereka akur, dan kami menikah hanya di hadiri oleh kenalan yang rapat dengan kami berdua.
Rupanya bunga cinta kami masih segar mengharum. Semenjak menerima kehadiran Yus, aku merasakan kemarau telah berlalu, musim kini dunia cintaku kembali subur. Aku melihat keindahan bunga-bunga berkembang disetiap sudut apa pun yang kuamati ketika Yus disampingku. Aku tidak kisahpun apa-apa tentang  masa lalu Yus, semenjak terjadi perpisahan kami dahulu dan apapun disebalik tabir kehidupannya,  yang aku tahu Yus baik kepadaku, mengasihiku seperti dulu. Cuma satu yang aku tahu Yus seorang ahli perniagaan yang baru mula membangun dan memajukan dirinya.

“Kau ingat kau sudah cantik! muka macam ni rupanya berjaya memikat suamiku.” Isterinya datang menghamburkan api kemerahannya kepadaku suatu petang.
“Kasih sayangnya padamu tiada yang luak bukan.” Jawapku.
“Kau perempuan gatal. Pisau cukur!.” Dia memandang ke arah mukaku.
“Suamimu orang kayakah? ” Jawapku. Ingin sahaja aku luahkan bahawa aku banyak membantu meringankan beban hutang Yus kerana gara-garanya yang suka sangat berbelanja sesuka hati menurut cerita teman-teman yang tanpa kupinta terdengar olehku.
Aku bukanlah insan yang terbaik tetapi setelah ketemu Yus semula kelembutan dihati ini terbit semula, sehinggakan aku dimaki hamun demikianpun aku bersabar. Satu waktu aku dikategorikan oleh teman-temanku sebagai wanita yang  jarang tersenyum. Bagi mereka yang tidak pernah mengenaliku akan mengatakan akulah wanita yang paling sombong.
Mementingkan dirikah aku ini? Tapi aku tidak pernah menyekat Yus untuk kembali kepangkuannya. Malah Yus mengambil masa tiga hari sahaja dalam sebulan diperuntukkan padaku. Aku sudah cukup bertolak ansur dan sudah memadai bagiku. Kalau wujudku ketika ini sebagai wanita Al-Arqam, (seperti yang aku ketahui) mungkin perasaan terluka ini tidak menghuni kolam rasaku. Tapi aku manusia biasa. Aku sebenarnya sentiasa belayar ke lautan luka.
“Kau tidak taukah suamiku itu sudah punya anak ramai! Huh!?” Dia memandang aku dengan bola mata yang sengeja dibesarkan. Tersentuh hatiku bila mendengar penguteraannya.
“Kau tau kah? Selama ini kami amat bahagia. Tapi sejak kehadiranmu apa yang aku buat semuanya tidak kena. Sudah habiskah semua lelaki bujang di dunia ini? sehingga suamiku juga yang kau kebas.” Aku cuma tunduk membisu.
“Minta balik suamiku, minta balik bapa anak-anakku!” Suaranya masih keras. Dia menuding dahiku dan menolaknya. Aku terdongak. hampir-hampir aku terjatuh. Hatiku bagai disiat-siat. Setenang air di kalikah hatiku? Aku kumpulkan segala kekuatanku agar airmataku tidak tumpah atau menitis didepannya atau membalas kata-katanya. Aku tidak menyedari bila pula temannya datang untuk memujuknya keluar dari rumahku.
“Pulanglah Lis, tidak baik kau buat dia macam tu. Dia dah jadi madu kau terima sajalah.” Dia sambil memapah tubuh Lis.
 Tubuh Lis kulihat bergoncang akhirnya dia tersedu-sedu dan jatuh terjelupuk di hujung kakiku. Aku menyentuh lembut bahunya dan mengangkatnya berdiri. Dia mengelak daripada sentuhanku seraya satu penampar hinggap di pipiku dan dia terus meludah mukaku. Muka terasa pedih dan panas. Aku cuma terdaya mengusap pipiku dan mengesatnya ludahnya.
“Maafkan aku.” Hanya kalimat itu sahaja yang termampu aku luahkan.
Mereka keluar meninggalkan aku tanpa sepatah kata. Aku mengiringi pemergian mereka dengan pandangan yang benar-benar hampa. Suasana menjadi suram dan malap. Hujan mulai rintik-rintik kedengaran, irama hujan menitik menimpa sebuah besin yang kutadahkan di sudut beranda rumahku bergema membela menusuk ruang kepalaku. Bagaimana pula hatiku? Angin kencang menerobos masuk  Aku menghampiri tingkap dan menutupnya perlahan. Kedinginan mula terasa. Aku beredar menghampiri pintu dan menutupnya. Alangkah mudahnya kalau begitu juga rasa cintaku dan kerinduanku tertutup terhadap Yus semudah menutup pintu dan tingkap. Alangkah! Terdengar sayup-sayup suara penyeselan jauh di lubuk hatiku dengan tindakanku menerima Yus sebagai teman hidup.Tapi apakan daya,  semuanya telah tercipta dalam kenyataan dan sesungguhnya hati ini pula tidak boleh dihuni cinta sesiapa melainkan Yus. Tetapi yang pasti aku telah melukai dan merobek hati kaum sejenisku. Kalaupun aku dibunuhnya sebentar tadi aku merelakan. Sungguh! aku rela seandainya kematianku boleh membasuh segala kelukaannya dan boleh membunuh segala rasa rinduku dan cintaku terhadap Yus.
Malam itu aku menghadap hidangan seorang diri. Biasanya dalam waktu begini aku memang bersendirian.  Bukan jadual Yus berada disampingku. Aku menyenduk nasi ke dalam pinggan tanpa berselera. Sekadar memenuhi perut kosong. Begitulah andaianku. Tapi nasi yang terhidang tidak berjamah lagi. Sebentar aku berdiri menutup T.V dan menghidupkan radio. Irama asli lagu-lagu lima puluhan dan enam puluhan sedang berkumandang menemani keheningan malam itu. Mungkin lebih baik untuk santapan telinga dan hati, fikirku. Aku menyedut nafas sedalam-dalam dan menghembusnya perlahan-lahan sambil mataku tertutup rapat. Tiba-tiba deringan telefon mengganggu tumpuan jiwaku yang sedang dibuai keasyikan irama asli. Aku bergegas pergi. Jarak antara bilik tidur dengan bilik makan tidak sampai enam puluh saat untuk mancapainya.
“Hello.”
“Assalamualikkum.”
“Walaikumusalam.. Eh Abang?”  Hatiku terasa damai dan lapang mendengar suaranya. Memang beginilah setiap kali perlakuan Yus. Meski pun Yus berada dalam pangkuan isterinya  Yus tidak pernah melupakan aku. Selama dua tahun aku hidup bersama Yus kini, belum pernah dalam sehari tidak menghubungiku. Yus senantiasa merinduiku menurut pengakuannya.
“Sedang buat apa  sayang?” Suara Yus mesra.
“Menghadap hidangan bang. Abang dah makan?” Pertanyaan keluar dari mulutku tanpa disedari.
“Akan makan. Abang disini di restoran dengan kawan-kawan.” Jelas Yus.
“Hei! abang belum sampai di rumah lagi? sekarang dah jam berapa ni?” Mungkin suaraku kedengaran agak meninggi.
“Ya lah manja, lepas abang makan nanti baliklah. Jaga diri tau. Kasihan makan seorang.” Aku memang senang mendengar suara Yus meski pun sebentar.
“Abang jangan merayau lagi tau, terus balik ya.”
“Ya lah .. Abang rindu ni.” Bisiknya.
“Aku juga bang. Aku rindu walau pun sebentar berpisah dengan abang.” Balasku.
“Abang tau, sebab tu lah abang telefon. Sayang ingat abang tidak taukah?” Balas Yus dihujung telefon. Tawa kami berderai di talian telefon.
“Iya lah bang, lepas ni terus ke rumah tau .” Aku mengingatkan Yus.
“ Sayang, kalau tahan sebentar lapar tu bolehkah?” Aku sangka Yus bergurau..
“ Kenapa bang. Anak kita dah menendang, mengamuk bang. Mungkin dah lapar. Pecah perut ibunya ni.” Berderai ketawa Yus membuatkan aku menjauhkan gagang telefon.
“Bagi tau dia, tunggu abahnya datang.”
“Apa maksud abang ni?” Aku kehairanan.
“Abang nak balik ke situlah sayang. Perasaan  abang lain saja ketika meninggalkan sayang tadi. Tiba-tiba pula abang merasa berat kaki ini hendak melangkah.” Aku mendengar suara Yus perlahan dan meruntun simpatiku. Selama aku menjadi isteri Yus belum pernah berdusta padaku.
“ Abang dalam perjalanan menuju ke sana tau. Tidak adillah macam tu bang. Kan abang dah janji nak balik sana.”
“Tolonglah sayang, abang mohon ni.” Rayu Yus.
“Jadi abang tidak makanlah disana?”
“Iya..” Suaranya menekan.
“Okeylah bang.” Aku tersenyum sendirian. Aku telah menemukan kebahagiaan sejak hadirmu Yus.Aku melekapkan kedua belah tanganku di dadaku.
Perjalanan Yus untuk kembali kepangkuanku mengambil masa yang agak lama. Rumah Yus dengan isteri pertamanya terletak di bandar lain di utara sedang aku duduk di bandar lain di selatan.  Dalam hati doa kejap tersimpul agar Yus selamat dalam perjalanan.
Ketenangan malam itu telah diganggu oleh bunyi riuh di luar rumah. Aku rupanya terlena dalam dakapan Yus. Aku menolak  tubuh  Yus dan bangkit perlahan sambil mendongak ke jam dinding yang menunjukkan jam tiga pagi. Aku menyelak langsir dan melihat ke arah luar. Jelas kelihatan isteri Yus diluar rumah kerana diluar diterangi oleh lampu yang sengeja berpasang diluar rumahku untuk keselamatan. Aku benar-benar terkejut dengan debar yang begitu kencang kerana  sebuah kereta Honda CRV berhenti dan kelihatan isteri Yus dan seorang temannya tercegat di luar rumah. Belum sempat berbuat apa-apa kedengaran jertitannya memecah kesunyian malam itu.
“Kembalikan suamiku perempuan gataaaal!.” Bentaknya.
“Abang! Let’s go home. Come back with me.” Dia terus memekik tak keruan.
Aku melihat Yus juga terkejut dengan mata terkebil-kebil. Dia mengesat matanya. Yus berjalan tergesa-gesa menuju ke pintu dan membuka pintu grill. Yus keluar menemuinya. Aku melihat Yus mendakap dan membelai rambutnya. Dia  memeluk Yus sambil tersedu-sedu. Aku hanya tercegat memerhati dengan hirisan hati yang kini berkeping-keping. Mendung dihatiku hanya menanti hujannya. Telingaku sempat menangkap beberapa kalimat.
Don’t be like that sayang. It’s make us ashame to the others.”
Let us leave her now.” Suaranya masih sayu tapi keras.
“ Abang tetap sayang kamu. Jangan buat macam ni.” Yus memujuk dengan nada yang lembut sambil mengelus lembut bahu isterinya.
“ Lis taulah dia girlfriend abang dulu. Tapi abang tidak patut buat Lis macam ni tau. Lis telah melahirkan anak-anak abang.”  Terlihat dia mengelap airmatanya dengan hujung jari. Yus merasa terharu dengan penguteraannya lalu mendakap dan mengucup dahi dan pipinya bertalu-talu.
Calm down mydear. I’ll take a little bit time to prepare myself. Wait a minutes.”  Kulihat  jari-jari Yus tidak lepas-lepas daripada mengelus lembut bahu isterinya.
Yus memapahnya masuk ke ruang tamu dan mendudukkannya di atas sofa yang berhampiran denganku. Sebentar Yus masuk ke bilik dan keluar dengan pakaian yang lengkap. Aku masih berdiri terpaku dan kaku tidak berganjak daripada sebelumnya. Aku menjadi objek yang seakan tidak bernyawa ketika itu, seolah-olah aku tidak wujud diantara mereka. Ketika melangkah keluar Yus hanya mengangguk memandangku tanda memohon pamitan. Yus memapah isterinya masuk ke keretanya. Sedangkan kereta yang dinaiki isterinya  dipandu oleh temannya tadi. Aku hanya memandang dengan hati yang bagai dirobek-robek. Hatiku yang mendung sebentar tadi sebagai objek pemerhati kini hujan membasahi seluruh urat nadiku. Aku mendakap wajahku yang kini basah. Kerongkong terasa sakit  bagai hendak pecah kerana menahan tangisku.  Deru enjen dua buah kereta yang menusuk telinga bagaikan tangisku yang terpendam di lubuk jiwa.
 Hari-hari seterusnya adalah hari-hari penantian yang menyeksa. Yus tidak lagi menghubungiku. Aku telah merisik khabar Yus melalui teman-temannya, menurut mereka Yus telah di bawa berpindah oleh isterinya. Hatiku juga berkeras aku tidak ingin mencari Yus. Aku hanya pasrah. Tapi kenapa Yus tidak menghubungiku dan memaklumkan bahawa aku tidak lagi terselit di sebalik lipatan jiwanya kini dan selamanya.
“ Dulu ibu sudah ingatkan, jangan berkahwin dengan suami orang, bukan senang hidup bermadu, kau nak juga, sekarang siapa yang susah. Kau buat aduan, biar dia rasa.” Entah berapa kali ibu menyuruhku untuk membuat aduan di pejabat agama. Tapi aku tidak mahu membesarkan perkara ini, betul kata ibuku, salah aku juga fikirku.
“ Sudahlah bu, isteri kedua rupanya lagi terluka.” Bisikku. Aku tunduk memandang lantai sambil mengurut perutku yang hanya menunggu hari bersalin.
            “ Kau tidak cukup darahlah.., kau kena cari  satu pain yah sebagai persediaan kalau kau bersalin nanti.” Kata-kata doktor Cina yang memeriksaku sentiasa terngiang-ngiang ditelinga menjadikan aku diterpa rasa bimbang dan cemas.
            “ Itulah jadahnya jika pilih suami main tangkap saja.” Terdengar lagi rungutan ibu entah yang keberapa kali, tetapi aku tidak memperdulikannya lagi. Aku memang benar-benar rasa bersalah. Aku juga mengutuk diriku kerana tanpa memikirkan perasaan isteri Yus. Jika agamaku membenarkan perlakuan ‘bunuh diri’  pasti telah kulakukan. Pasti!
“Ibu! Ibu fikir apa?”  Azi menggoncang bahuku dengan jari jemarinya yang mongel.
“Kenapa sayang?” Aku menepuk punggungnya seraya mendakapnya erat. Azi duduk dipangkuanku.
“ Budak lain ada ayah. Mana ayah?. Azi ingin bermain  dengan ayah lah bu.” Azi memandang wajahku. Matanya bening, sebening hatinya yang tidak pernah tahu ayahnya pernah wujud, pernah bertakhta dihati ibunya. 
Aku hanya membiarkan Azi tertanya-tanya, setiap pertanyaannya aku biarkan berlalu seperti hembusan angin. Aku hanya tahu membisu. Kehilangan Yus untuk kali kedua dalam hidupku. Suaranya yang lembut sering menghiburku melalui telefon juga  hilang bersama malam yang petaka itu. Apa tak lagi untuk menatap wajah Yus, aku hanya mampu membayangkan senyumannya. Jiwa sendat dengan rasa kerinduan yang amat menyeksa. Aku semakin rindu tapi hatiku semakin parah. “Yus! kau  telah disumpahkah agar tidak menjengukku lagi?” Betapa kejamnya Yus. Kau tidak tau Yus bahawa aku hanya bernafas atas namamu, aku hanya hidup untuk sebuah nama Yus yang sentiasa terpahat dalam jaluran cintaku.
“ Ibu, ada kawan ibu datang”. Azi menyentuh lembut bahuku. Aku perlahan mengangkat punggungku dan menuju ke beranda.
Ya Allah! Mimpikah aku? Aku memusatkan pandanganku ke arah dua tubuh di depan mataku. Seorang duduk di kerusi roda dan seorang lagi berdiri di belakangnya sambil memegang penyandar kerusi roda.
“ Maafkan kami kak jika menggangu. Sebenarnya abang telah jatuh sakit sekian lama. Bila dia agak pulih dia meminta saya membawanya kemari”. Aku hanya berdiam diri. Setitik demi setitik air jernih jatuh membasahi pipiku yang tidak mampu kubendung lagi. Aku tidak mampu bertanya apakah cerita disebalik kehilangan Yus.
“ Abang!”. Hanya itu yang mampu ku ucapkan.
“ Maafkan abang sayang, abang tidak bermaksud untuk menyakitimu”. Suara Yus terketar-ketar dan tidak jelas.
“ Abang tidak boleh bercakap kak, akhir-akhir ini saja abang boleh bercakap, itu pun kakak dengarlah sendiri, belum berapa betul. Oh yah kak.”. Dia lalu mengucup tanganku menyedarkan aku yang hanya tercegat dengan mata yang basah..
Aku tunduk dan mengucup tangan Yus. Airmataku menitis menimpa tangannya yang hanya dibaluti kulit. Tangannya terketar-ketar mengusap kepalaku, Azi berlari memelukku apabila melihat aku tersedu. Azi memandang kami silih berganti dengan  mata yang kedip-kedip.  Yus turut mendakap Azi. Kami dikejutkan oleh sebuah kereta yang laju dan berhenti mendadak di depan rumahku. Terlihat isteri Yus keluar perlahan-lahan dari kereta dan menutup pintu kereta dengan keras. Aku menyembamkan wajahku dipelukan Yus.
Tapi kali ini aku nekad jika sakit yang dihadiahkan kepadaku maka sakit juga yang akan ku hadiahkan. Diriku bukan untuk disakiti dan dipukul sesuka hati. Aku mengingatkan pada diriku bahawa aku umat Muhamad yang membayar fitrah setiap tahun, maka dengan itu aku mesti menghargai dan mempertahankan diri. Aku tidak patut mudah dipengaruhi dan dikuasai oleh mereka yang lebih bersemangat penakluk daripada diriku yang sentiasa merasa bersalah selama ini sehingga aku menganiaya diri dan masa depanku termasuk anakku yang tidak berdosa.


                     S E L E S A I

Apabila Semuanya Kini Terlewat


APABILA SEMUANYA KINI TERLEWAT
( Dedikasi buat sebuah bicara senja ini)

waktu yang berlari semakin jauh
tapi aku masih di sini
menghitung butiran cinta
menganyam makna rindu
yang telah tercicir bagai berkurun

seringkali aku memaknakan kekosongan
mengisi ruang nostalgia
yang masih hangat menyambut angan
nafas yang berhembus dalam dakap khayal
hanya terdaya menghitung waktu

kekasih
kau telah membiarkan kuntum cintaku
mengharum semusim hayat
menanti bagai berabad
lalu kau sentuh ketika serinya
luruh dimamah zaman

Apabila semuanya kini terlewat
Jangan kesali kelopak yang gugur
Bukan dipinta kematian ini. 

Tuesday 5 April 2011

Semalam Hanya Bayang

Ketika bersama meniti pelangi
jejak tercipta dalam rentak
yang pincang tanpa sedar
terbuai dalam rangkulan mimpi maha indah
menggubah bunga kasih dalam semerbak rindu
mahar cinta mengelus jiwa
memercik sentuhan sejuta rasa
dwi warna mencipta fatamorgana
membuat kau tersentak
lalu berlari menjejak bumi
maka usah gerun pada bayang
yang nakal hadir mengusik
jangan sembunyi dalam hamparan dusta
ia hanya igauan mengetuk lenamu..
alahai..sedarlah..
bayang hanya bayang-bayang

Sebuah Bicara

            SERINGKALI ketika kaki ini memijak kota ini, kota yang telah sarat menyimpan kenangan kita, ketika itu jugalah memori ingatanku memutarkan irama rindu, suka dan bahagia ketika berada dalam dakapan cintamu Ar. Meskipun lewat usiaku kini yang lebih layak digelar nenek. Aku seakan tidak percaya dalam kepayahan menempuh ranjau hidup tanpa cintamu, masih termampu menyimpan seribu kenangan bersamamu.  Tetapi sehingga kini aku masih belum  memahaminya, tanpa apa-apa alasan tiba-tiba saja aku mendapat berita bahawa kau telah bergelar ayah. Kenapa Ar? Apa salah dan dosaku? Seandainya ketika itu aku telah berlaku silap, mohonlah penjelasanku. Kau tau Ar, suatu ketika lewat dua puluh empat tahun yang lalu setelah aku lelah meniti hari-hari gilaku lantaran apabila saja celik mataku ini yang terpampang diruang mataku hanya bayanganmu, namamu mengukir di setiap sudut jiwa, cintamu berhembus bersama nafasku, bisik lembutmu berdesir bersama hembus bayu. Ah! terlalu indah Ar, sungguh indah sehingga apapun yang kuamati ketika itu adalah satu keindahan.. Lantaran rasa terseksaku. dengan perasaan ini, lalu aku memutuskan aku ingin membuangmu jauh dari sudut hatiku, aku bersumpah bahawa besok paginya aku akan menghapuskan apa saja bentuk kenangan dan juga menghapuskan namamu yang sentiasa terpahat di segenap jiwa ragaku. Aku kira aku telah berjaya, apabila setiap kali kenangan mengelus lembut hatiku aku menepisnya dan terus membuangmu jauh dari sudut hatiku. Setiap kali irama rindu membisik ke telingaku aku pura-pura tidak mendengar dan aku memutarkan irama yang lain. Bukan iramamu Ar. Bukan irama cinta kita.
Senja  11 Febuari 2005 sekali lagi aku menyusuri titian kenangan dan jalur-jalur cinta kita di tepian jalan ini, apabila seorang teman membawaku bersiar-siar, keretanya memasuki perkampungan Takuli, dan menyusur jalanraya dari Pekan Beaufort ke Menumbuk, aku terpukau dengan suasana desa yang cantik dan permai, pembangunan prasarana, projek pembangunan yang di bina kerajaan menjadikan aku bangga selaku rakyat Malaysia. Berbagai-bagai kisah diceritakannya padaku setelah sekian lama kami tidak ketemu. Tapi dalam aku mendengar ia bercerita aku sebenarnya sedang nanar dan parah, kau benar-benar telah hadir dalam diriku Ar. Aku dapat merasakan semula gelora cinta kita sedang membakar diriku. Seolah-olah liuk lintuk rerumput di tepian jalan sedang melambaikan tangan padaku menyaksikan keasyikkan berahiku berada disisimu Ar. Temanku menyedari aku tidak memberi perhatian pada perbualan kami, dia menepuk pahaku membuatkan kau terlontar jauh Ar.
“ Apa ni!? Kau tau, kau membuatku melepaskan Ar dalam dakapanku tadi. Kau kejam Mi.” Tawa Mi berderai memecahkan keheningan suasana senja itu.
“ Tiada sesiapa lagikah dalam igauanmu selain dirinya? Kenapa kau menjadikan dirimu berada dalam suatu mimpi?.
“Aku tidak dapat menyimpan cinta orang lain dihatiku Mi selain cinta Ar.”
“Dia kini sedang di puput rona kebahagiaan dengan isteri, anak-anak dan mungkin cucu-cucunya. Kau tau itu kan.” Katanya memang benar Ar. Aku mungkin satu cebisan perca kain yang reput di tepian sampah sarap dalam hidupmu yang langsung tidak bermakna apa-apa. Hanya aku yang masih menyimpan kukuh ingatan ini, hanya aku yang mendakap erat rasa cintaku ini Ar. Hanya aku. Sekilas mataku menyapa sebuah papan tanda ` Limbawang Enterpise ‘ berdarah lagi hatiku. Aku sangat kenal nama itu. Nama sebuah desa yang mengukir indah di hatiku. Nama desamu Ar. Aku pasti desamu itu masih setia menyimpan  memori cinta kita. Tenang air di kali tempat kita bermandi manda, mungkin masih menyimpan impian dan rinduku ini,  tempat aku memungut ikan yang kau dapat ketika memancing, ketika itu kau mendekatiku dan  membisikkan padaku tatkala aku mencangkung dengan keasyikan memerhatikan ikan-ikan yang kita kumpul itu.
 “Kau ratu hatiku, akan ku angkat kau menduduki pelamin, kaulah yang berhak duduk di atas pelamin rekaanku nanti.” Bisikmu. Aku hanya tersipu-sipu sedang jauh di sudut hatiku betapa bahagianya aku, lalu aku  memandang jauh ke dalam matamu, mata yang redup basah lambang kerinduanku hingga kini. Kau mengucup dahiku dalam kehangatan kasihmu, aku seperti merasakan kucupan itu hingga kini. Hingga kini Ar. Aku.merasakan saat bahagia kita tersipu-sipu apabila teman-teman memancing ketika itu pura-pura terbatuk, kenakalan Him dan Ita  yang sering mengusik, semuanya bagai berulang tayang dalam memoriku.
Melewati jangkamasa dua puluh enam tahun yang lalu, aku ingin mengisahkan satu kekuatan pesona cintamu Ar, pada suatu petang di desaku yang amat terpencil di pedalaman, aku mencuba tenagaku membelah kayu api dengan sebilah kapak, memangpun kerja itu aku tidak pernah melakukannya hanya sekadar mencuba,  tanpa kuduga aku telah mengapak kakiku sendiri tetapi dalam saatku kesakitan aku terlihat adikku yang baru datang dari menjenguk kotak pos di desaku,  mengibar sehelai sampul yang aku kenal pasti sampul suratmu Ar, ketika itu juga aku terlupa kakiku yang sedang mengalir darah merah. Aku mencapai suratmu dan terus membacanya, aku terlupa akan kecederaanku. Aku tersedar semula apabila ibuku menjerit terlihat akan darahku yang banyak mengalir. Betapa tingginya kuasa rasa bahagiaku ketika itu Ar, hingga boleh membuatkan aku terlupa akan alam sekelilingku, sehingga aku tidak merasakan sakitnya kakiku yang cedera. Ini bukan dongengan Ar, seandainya racun yang diberi minum padaku ketika itu, mungkin menjadi madu jika dikatakan itu adalah pemberian darimu. Itu cerita dua puluh enam tahun yang berlalu Ar. Betapa bahagianya ketika itu meskipun hanya surat cintamu yang datang saban minggu, tidak seperti pada ketika ini perhuhubungan dengan telefon memudahkan insan seperti kita bercengkerama.
Saat ketika aku berlegar-legar dalam ruangan pameran di Pasar Seni Negara di ibu kota dua puluh empat tahun berlalu, aku tertarik dengan sebuah pinggan seramik berukir. Lalu ku pinta penjual menulis namamu dengan tinta emas dengan tulisan yang sungguh cantik, kau tidak tahu Ar untuk apa pinggan itu? Aku ingin kaulah insan pertama yang menggunakannya, aku ingin menyenduk nasi , nasi sendukan pertama yang akan kusuapkan ke mulutmu, lambang kebahagiaan seorang isteri. Lambang cintaku Ar. Sungguh Ar, meskipun harganya tidak semahal kristal, tapi jangan kau ukur dari harganya tapi penghargaan dan penerimaan makna yang tersirat. Kau tau Ar, aku juga  ingin menghadiahkanmu sebuah  pinggan emas  yang bakal ku letakkan makanan pertama, pada saat pertama aku menjadi permaisurimu, pada saat aku menjadi pengurus dapur istanamu, istana kita Ar, tapi aku tidak dapat memilikinya seperti mana aku tidak dapat memilikmu.
Detik sekilas bahagia menjelma dalam dakapan tahun 1987, suatu saat yang tidak terduga hadirnya. Setelah tujuh belas tahun kita terpisah. Kita diketemukan Ar, aku tidak menduga bahawa kau juga salah seorang daripada tetamu jemputan khas dalam majlis itu. Dalam kesamaran lampu dan alunan muzik sentimental aku seakan tidak percaya apabila memandang hayunan langkahmu sedang menuju ke arah mejaku ketika itu. Gerak tubuh dan langkah kakimu masih milikmu yang terindah dalam mataku. Masihkah kau mengingati detik itu Ar? Kau bertanyakan bagaimana aku? Apa khabarku? Sihatkah aku? Masih hadirkah namamu dalam ingatanku? Aku hanya tersenyum dan pura-pura tidak merasakan gelombang yang membuai diriku sedang terbang menuju ke benua lain. Aku merasakan tidak jejak di bumi nyata.  Aku tidak dapat mencetuskan walau sepatah kalimat dari bibirku. Aku memelukmu dan mendakap erat sambil terhidu aroma tubuhmu yang seringkali membuatkan aku merinduimu apabila terhidu wangian kesukaanmu ini Ar. Aku menangis sepuas-puasnya. Kau mengelap airmataku, kau membelai rambutku yang tidak terurus kini, kau sentuh lembut pipiku Ar, kau selak rambutku yang melekat dipipiku kesan basah  airmataku. Aku tunduk dan membenamkan wajahku di dadamu. Dengan lembut kau mendakap erat tubuhku seakan tidak mahu melepaskan. Rinduku saujana lautan tidak dapat dihapuskan oleh detik pertemuan sesingkat itu. Aku merasa degup dan getarnya jantungmu Ar, Ya Tuhan, aku terdengar irama jantungmu seolah-olah sedang berbisik memujukku.   “ Kau jangan menangis sayangku, aku datang kini untukmu, aku datang menunaikan impian kita yang tertunda.”  Aku mendongak dan menatap wajahmu, jantungku tertusuk oleh panahan matamu Ar, mata yang redup basah bersinar layu lambang kerinduanku selama ini. Entah kali yang ke berapa aku mengulangi tentang matamu Ar. Sungguh ini bukanlah satu pendustaan.
“ Kau terpukaukah menatap jejaka handsome ni?”. Bisik teman di sebelahku di majlis Makan Malam Bersama Tok Mat pada malam yang penuh bersejarah itu.  Kejam! Terlontar lagi kau Ar dalam dakap khayalku.  Itulah penjelasannya Ar kenapa aku seakan kehilangan kata-kata ketika itu. Kenapa aku bersahaja memandangmu, seolah-olah pada malam itu aku baru mengenalimu. Ketahui olehmu Ar, saat itu adalah satu saat penyeksaan bagiku, bayangkan aku terpaksa berpura-pura dan makan bersama tetamu lainnya, sedangkan menahan kepedihan, meleleh airmata dihatiku Ar.  Dewan Makan Teratai Room Kinabalu Hyatt Hotel  menjadi saksi pada malam itu kita duduk seiring di sebuah meja bulat. Aku sesungguhnya benar-benar mendamba satu saat kau menyenduk makanan untukku, saat kau yang memilih makanan untukku Ar. Seperti yang kau sering lakukan saat kita meniti hari-hari yang manis suatu ketika dulu. Tapi malam itu kita berdua menjadi kaku seperti patung. Mesramu tujuh belas tahun yang lalu telah di mamah usia zaman, hilang di telan kabus perubahan.. Aku bagai mengunyah, menelan batu dan pasir, makanan yang terhidang hilang lazatnya. Meskipun pada malam itu kau tidak bersama pasanganmu dan begitu juga aku.
Dua puluh empat tahun berlalu gelaran sebagai isteri telah kupertahan meskipun aku bernafas tanpa cinta, tanpa cintamu Ar, aku menjalankan tanggungjawabku sebagai isterinya selayaknya. Namun aku masih berada di alam mimpi. Aku tidak dapat menghapuskan kau dalam hidupku.
“ Apa lagi yang kau tunggu? Kau tunggu putera raja datang melamarmu?”Anak-anak buahmu perlu mama, tiada yang layak menggantikan kakakmu, dalam keluarga kita kaulah yang layak, jadi kau tunggu siapa!? Kata-kata ibu yang keras sering terdengar hingga kini.
“ Kakak sudah meninggal mama, tidak perlu pengganti, lagi pun aku telah menjaga anak-anaknya seperti anak  sendiri. Suruh saja ayah mereka cari isteri lain, kakak tidak akan hidup semula.”
“ Eh belum ada dari keturunan kita yang membelakangi adat, kita yang perlu mencari pengganti kakakmu.”
“ Kenapa pula aku yang jadi mangsa pengganti?”
 “ Kau mesti juga terima ayah budak-budak tu.”
“ Tidak mau mama, dulu dia abang ipar, takkan selepas ini jadi suami pula. Tidak mungkin, tidak boleh jadi. Aku tidak setuju!”
Ketika menghadap hidangan malam itu, ibu mempamerkan wajah mencuka kepadaku kerana sikapku yang membantah keputusannya. Malam itu aku meratapi nasib diriku Ar. Aku tidak pasti sama ada aku berbangga menjadi suku salah satu etnik di Sabah yang masih memelihara ketulenan adat ini Ar. Kesal sentiasa menyelubungi diri kerana adat itu terkena pada diriku sendiri. Mungkin tidak akan begini nasibku jika istana impian kita  telah terbina. Rasanya malam itu aku banyak menumpahkan airmata. Hingga bila berakhir penyeksaan ke atasku? Sungguhpun begitu aku merasa terhibur dengan telatah anak-anak buahku Ar, aku hanya boleh membayangkan bahawa itu adalah anak-anak kita, aku melihatmu menampar lembut punggung Ni yang membuat nakal, melompat dari sebuah kerusi ke sebuah kerusi di ruang tamu, sedang aku duduk di sisimu, memerhatimu dengan penuh kasih. Akulah seorang isteri yang teramat bahagia disampingmu Ar.
“ Mama sudah siapkan semuanya.  Kau tidak perlu urus apa-apa.” Entah berapa ukuran kasih ibuku yang tercicir, membuatkan kau hilang di sisiku dan sekaligus menyeksaku kerana membuat keputusan untuk hidupku.
            “ Tunggulah aku mencari kerja dulu mama.” Itukah rayuan yang mampu menjadikan ibu bersimpati? Tidak Ar. Malah alasan itu  menjadikan ibu membuat keputusan untukku. Aku tidak layak membuat keputusan untuk diriku Ar. Aku hilang hak atas diriku apabila aku sentiasa berada di rumah dan menjadi tukang masak selepas menduduki STPM yang tidak mendapat gred lulus penuh. Malah segala keperluanku hanya berharap wang saku yang diberikan oleh abang iparku kerana menjaga anak-anaknya. Dia terlalu baik, memahami keperluan seorang gadis seperti aku. Dia juga seorang yang bersimpati, setiap hujung minggu dia akan bertandang ke rumah melawat anak-anaknya dalam jagaanku. Abang iparku juga tahu Ar, aku mencintai seorang jejaka tanpa mengetahui bahawa kau lah insan yang bertahkta dihatiku Ar. Insan yang sentiasa segar dalam ingatanku.
Rentik hujan yang menitis di hujung atap, kemudian jatuh satu demi satu ke bumi, di selangi deru petir, sesekali membingitkan suasana, kilat yang sesekali menyambar menerangi suasana yang kelam, alam sekeliling redup, sepi dan sunyi, mendung menyelubungi suasana adalah satu pesta bagiku, terlalu indah bagiku hanya dengan mengingatimu Ar. Bunyi jam berdenting tiga kali yang tergantung di sudut dinding menandakan malam kini menjelang dinihari, tapi mataku saban malam segan disapa rasa mengantuk. Malam-malam yang sunyi bagi sesetangah insan hanya kedengaran detik jam dan suara lolongan anjing di kejauhan adalah malam yang meramangkan bulu roma, tapi bagiku semua itu satu keindahan, aku seolah-olah sedang tidur bertilamkan hamparan rindu, kau tau kenapa Ar, semua suasana bertukar indah jika aku mengingatimu. Panas terik akan bertukar redup, angin yang bertiup kencang sesekali diikuti bunyi yang menderu akan bertukar menjadi tiupan sepoi-sepoi bahasa hanya dengan mengingatimu Ar. Mungkin disebabkan rumah ayahku dibina berhampiran tanah sawah. Maka setiap senja, sebelum malam melabuhkan tirainya, menjadi kesukaanku duduk di permatang sawah hanya kerana ingin melihat keindahan persekitaran yang tenang dan daun-daun kelapa yang melambai-lambai lembut hasil tanaman ayah sering mengusik pandanganku Ar, seolah-olah lambaian tanganmu, irama yang terbit dari liuk lintuk dedaunan di sekeliling seolah-olah irama gemersik cintamu yang datang melayang membawa rindumu Ar.  
“ My Dear, jangan kau tagih walau secebis rasa cintaku untukmu, hanya aku boleh menyayangimu, seperti aku menyayangi anak-anakmu.”  Itulah luahan terus terangku pada suamiku dua puluh empat tahun yang lalu Ar. Aku tidak dapat menolak takdir diriku yang ditentukan oleh orang tuaku.
“ Asal kau boleh belajar mencintaiku, aku akan menunggu cintamu.” Aku melihat sinar kesabaran terpancar di wajah suamiku,  hingga kini Ar, dia seorang suami yang penyabar dan penyayang. Tapi entah kenapa aku tidak dapat melupaimu hingga kini Ar.
Tetapi aku masih tidak mengerti Ar, seorang lelaki gagah menitiskan airmata di depanku ketika aku benar-benar tidak berdaya berbuat apa-apa selain memandangnya dengan goresan kehampaan membelah dadaku. Entah apa lagi yang dapat aku perkatakan Ar, setelah sekian tahun tanda tanya dalam hatiku sentiasa bersarang tentang apa dosa dan kesalahan yang telah ku lakukan sehingga kau membiarkan aku terbakar dengan rasa cintaku ini, kau muncul pada petang itu ketika aku sedang membersihkan halaman rumah, ketika anak-anakku semua tidak ada di rumah, ketika ibuku sedang sibuk di dapur, kenapa kau mencariku setelah sekian tahun? Bagaimana kau tahu rumahku? Angin Timur Lautkah yang melanda jiwamu hingga bertahun berlalu baru kini kau datang memberi penjelasan.? Tentu kau masih ingat Ar petang yang kelabu itu baru saja berlalu?
            “ Maafkan aku, selagi aku tidak memohon maaf darimu, aku tidak pernah tenang. Aku tidak berniat melukaimu. Kaulah satu-satunya yang masih bertakhta dihatiku. Aku berkahwin tapi dengan satu cerita panjang yang terlalu sukar untuk orang lain mengerti, percayalah sayangku. Aku kini datang dengan satu harapan agar kehadiranku ini mampu membasuh luka mu selama ini.”  Mampukah sebuah kata maaf mengembalikan segalanya dan bermula seperti dulu Ar? Mampukah?
“ Mama terlalu jauh melayang, kemana tu?” Anak lelaki sulungku yang kini mencecah usia dua puluhan rupanya memerhatiku. Kematangannya terserlah setelah kepulangannya dari pengajian di sebuah sekolah luar negara.
“ Mama tau sekarang Epy sedang di lamun cinta”
“ Oh, jadi sebab itukah mama jauh melayang tadi?” Anakku tersenyum memandangku, dan tanpa berselindung dia mengangguk.
“ Pernahkah Epy melihat lambaian daun kelapa seperti lambaian tangan insan yang kita sayang?” Aku memandang wajah anakku.
“ Tidak pula sampai ke situ.”
“ Deru air yang sedang mengalir, adakah terasa keindahannya, seolah-olah suaranya sedang membisik ke telinga Epy?”
“ Tidak pernah pula Epy kaitkan dengan keindahan alam.”
“ Mama merasakan semua itu, ketika mama sedang dilamun cinta dengan seseorang suatu ketika dulu.”
“ Dengan papa ya?” Anakku memandang aku seraya tersenyum.
“ Tidak, dengan insan lain”.
“ Wah, hebat ya rasa cinta mama. Tapi sekarang papa yang memiliki rasa cinta mama itu kan.” Aku menggeleng kepala, hanya itu yang termampu kubuat.
“ Mama menyayangi papa dan kamu semua, tapi rasa cinta mama ini tidak pernah terhapus di hati mama.”
“ Terlalu baikkah  dia sehingga mama meletakkan harapan mama terlalu tinggi?”
“ Bagi mama dia yang terbaik.”
“ Itu satu kesilapan mama menduga masa depan, bagaimana mama pasti boleh bahagia jika bersamanya?” Anakku melihat jauh ke dalam mataku sambil menggenggam jari jemariku.
“  Mama akui ayahmu adalah seorang lelaki terbaik yang Tuhan anugerahkan untuk mama. Cuma setiap kali mama berusaha untuk mengikis kenangan masa lalu mama, semakin jelas ingatan manis mama, kadangkala meruntun hingga menyebabkan mama mengalirkan airmata.”
“ Tidak usah di tangisi nasib malang yang menimpa mama, kerana airmata darah mengalirpun tidak menghanyutkan rasa derita mama. Mama kena menyerahkan pada Qada dan Qadar. Ini ketentuan Allah mama. Kita ada persepsi tersendiri tentang cinta, cinta itu mama boleh resapkan dalam mencintai pencipta kita. Sesungguhnya mama beruntung kerana mama pernah merasakan keindahan cinta yang tiada tolok bandingnya di dunia ini. Mama pindahkan keindahan cinta mama itu dengan mencintaiNya, Insya Allah boleh mama.”  Anakku mengusulkan.
Petang Ahad itu yang di hiasi pelangi selepas hujan lebat menyapu wajah alam menjadikan persekitaran nampak segar , sisa-sisa air masih mengalir dalam longkang di hadapan rumah. Bunyi deru air masih hinggap ke telinga. Sisa-sisa air hujan masih menitis di hujung daun, bunga-bunga yang meliuk lembut di tiup bayu terasa dingin. Kedinginan terasa menyapu wajahku. Aku memandang jauh ke hadapan terpampang sebuah bukit yang menghijau berbalam-balam kerana sebahagiannya di selaputi kabus. Sepi, kaku  dan kosong, sesepi hatiku. Aku beralih menghampiri tingkap dan mengelap sebutir air yang masih melekat di sudut cermin terasa dingin di hujung jari, sedingin tangan mongel anak-anak buahku yang minta di belai ketika mereka masih kecil, yang memerlukan kasih sayang seorang ibu. Terbayang mata bening mereka yang tidak berona meluruhkan simpatiku, aku mengucup seorang demi seorang. Tapi kini mereka telah dewasa. Ya Allah! Terlalu cepatnya masa berlalu, tanpa kusedari aku telah mensia-siakan kehidupanku. Aku tunduk memandang lantai, terlihat hujung kaki kini yang telah kecut yang di mamah usia yang dahulunya pejal dan gebu.. Aku mengerti kini,  aku telah meninggalkan usia mudaku dan sedang meniti detik menjelang tua dan menunggu waktu  kembali kepadaNya.
Aku benar-benar terkedu dengan penguteraan anakku, betapa aku mensia-siakan perasaanku selama sekian tahun hanya pada seorang insan yang tidak membawa apa-apa makna buat diriku. Memang benar kata anakku. Apapun semuanya harus kembali kepada pencipta iaitu Allah, yang mengurniakan nafasku, yang mengurniakan penglihatanku, yang mengurniakan jantungku, yang mengurniakan kaki dan tangan, yang mengurniakan seluruh jasad dan ruhku, aku lupa. Aku menjadi alpa hanya kerana cinta pada seorang yang digelar lelaki.  Aku lupa akan rezeki dan nikmat hidup yang Allah kurniakan selama ini.
“ Ya Allah, ampunilah hambamu yang amat berdosa ini. Ampunilah segala dosa yang telah ku lakukan sepanjang hayatku.” Suara hatiku menjalar ke seluruh urat nadiku memohon keampunanNya.
Aku bersyukur dengan segala nikmat dan rezeki yang telah Allah kurniakan selama aku menyedut udara kurniaanNya.  Belajar mencintaiNya dan istiqamah adalah nilai keindahan yang tidak dapat ditukar ganti kini dengan rasa cinta  yang ada di dunia ini, menghargai segala yang ada di sekelilingku. Menghargai sekitar alam kurniaan Tuhan dan segala yang menghuninya, aku tidak merasakan lagi bahawa aku seorang sahaja yang bernafas di muka bumi ini. Aku tidak merasakan bahawa aku menderita. Rasa derita itu hanya wujud bila kita mengatakan pada diri kita bahawa kita menderita  Ada lagi makhluk Allah yang lebih menderita daripada kita. Aku amat berterima kasih kepada ibuku, kerana setiap ibu sentiasa melakukan yang terbaik untuk anaknya, pengorbanan seorang ibu tidak dapat di nilai walau pun dengan bandingan segunung emas. Kini aku sentiasa mendoakan agar ibuku di kurniakan kesihatan yang baik dan semoga usianya di lanjutkan lagi dan dapat menyaksikan telatah cicit-cicitnya pula pada waktu yang akan menjelang kelak. Aku juga mendoakan agar ruh ayahku tenteram di alam Baqa dan mendapat keampunan dari yang Maha Kuasa.

                                                        S  E L E S A I
p/s: Tyon..mindahu ko ra rahu taka nu angumin ko poh..hehe

DENGAN KUALITI JIWA BUKAN KUANTITI HARTA…

Redha Allah terletak pada redha ibu-bapa. Semua orang pernah mendengar ungkapan ini. Namun, berapa kerat yang memahami tuntutannya? Dan berpada kerat pula yang telah menunaikan tuntutannya? Ibu-bapa yang telah tua memang menguji anak-anak. Maklumlah, akalnya sudah lemah, pertimbangannya jadi singkat. Kerenah orang tua sangat menguji anak-anak.
Berapa ramai yang menganggap ibu-bapa yang telah tua sebagai satu liabiliti dalam kehidupan kita. Pada hal mereka sebenarnya adalah satu aset yang sangat berharga dalam kehidupan kita. Menjaga ibu-bapa yang telah tua, bersabar dalam menghadapi kerenahnya sesungguhnya akan membuka pintu kerahmatan dan keberkatan daripada Allah swt.
Ingatkah lagi kita tentang satu hadis panjang yang menceritakan kepada kita bagaimana tiga orang lelaki terperangkap dalam sebuah gua? Masing-masing memohon pertolongan daripada Allah melalui perantaraan (tawassul) amalan mereka. Salah seorang lelaki tersebut telah memohon kepada Allah melalui perantaraan amalannya yang berbakti kepada orang tua… dan pintu gua itu tergeser, petanda bantuan Allah tiba kerana amalannya terhadap orang tua.
Mengapa tidak kini kita gunakan kaedah yang sama? Bukankah banyak permasalahan dan beban hidup yang berat sedang atau akan kita tanggung? Salah satu kaedah untuk mengatasi dan menangani masalah tersebut ialah dengan berbakti kepada orang tua dan menjadikan kebaktian tersebut sebagai perantaraan berdoa kepada Allah. Dengan syarat kita berbuat demikian dengan hati yang ikhlas.
Berapa ramai penulis yang “terbantut” idea dan mindanya, lalu dia mengangkat tangan berdoa kepada Allah melalui perantaraan ketaatannya kepada ibu-bapanya? Atau ahli perniagaan yang dilanda masalah hutang atau merudumnya jualan, lalu istirahat seketika lantas berdoa meminta bantuan Allah melalui budi-baiknya terhadap ibu-bapa? Atau ahli politik yang diserang kiri dan kanan oleh musuh politiknya, mengambil sedikit masa untuk bermunajat kepada Allah melalui amalan baik terhadap kedua ibu-bapanya?
Ingatlah, ibu-bapa yang tua itu adalah satu aset. Kesusahan, kejemuan dan kebimbangan kita sewaktu menjaga mereka sebenarnya adalah mahar kepada sebuah ketenangan, keberkatan dan kejayaan dalam kehidupan. Namun sebaliknya, jika mengabaikan mereka itulah yang akan membuka kepada pintu kehancuran, keresahan dan kegagalan. Benar seperti yang pernah didendangkan oleh lagu lama, “ayah dan ibu wali-wali keramat.”
Ibu-bapa memang “wali keramat” kerana meminggirkan mereka (apatah lagi kalau sampai ke tahap menderhakai mereka) akan menyebabkan hidup kita terhijab (terhalang). Bukan sahaja kita orang awam ini, bahkan orang-orang Soleh sekalipun jika tersalah laku dengan ibu-bapa akan menerima padahnya. Lupakah kita kepada Juraij, seorang yang amat soleh (rajin uzlah dan beribadah) tetapi tertimpa malapetaka fitnah kerana tidak disenangi oleh ibunya.
Gara-gara begitu asyik dengan solat sunat, Juraij tidak menyahut panggilan ibunya. Ibunya sungguh terasa hati menyebabkan dia berdoa agar Juraij ditimpa fitnah. Benar, tidak lama kemudian Juraij difitnah berzina dengan perempuan jahat menyebabkan dia dihina dan disakiti oleh penduduk-penduduk setempat. Itulah bahananya mengecilkan hati ibu. Justeru, dari segi hukumnya, ajaran Islam menetapkan seseorang yang sedang bersembahyang sunat wajib menyahut panggilan ibunya setelah tiga kali panggilan itu diulang. Kenapa? Padahal solat itu hubungan dengan Allah, sedangkan menyahut panggilan ibu bapa itu hubungan sesama manusia? Apakah hak manusia lebih besar daripada hak Allah?
Tidak, bukan begitu. Sebenarnya itu didikan daripada Allah jua, agar seorang anak menjaga hubungan dengan ibu-bapanya semasa berhubung dengan Allah. Taat kepada Allah dan berbuat baik kepada kedua ibu-bapa ada kalanya dirangkaikan dalam ayat-ayat tertentu dalam Al Quran. Ya, jangan sampai mengejar cinta Allah, dengan mengabaikan cinta terhadap ibu-bapa. Yang setepatnya ialah cintailah ibu-bapa kerana mencari cinta Allah!
Bayangkan jika manusia sesoleh Juraij pun boleh ditimpa kesusahan kerana kesalahan yang boleh dikatakan kecil (berbanding kederhakaan anak-anak zaman ini) terhadap ibunya, apalagi kita. Kebaikan kita tidaklah setinggi dan sebanyak Juraij, sebaliknya kesalahan kita terhadap ibu-bapa kita lebih banyak daripadanya… Bila-bila sahaja kita boleh ditimpa malapetaka akibat kederhakaan ini. Dan mungkin kita tidak sedar, malapetaka itu telah pun menimpa kita.
Intai-intai dan telitilah kembali jalan hidup yang telah, sedang dan akan kita susuri ini. Berapa banyak halangan dan hambatan yang datang melanda. Berapa banyak kali kita kecundang? Apa yang dirancang kekadang sering tidak “menjadi”. Malang dan bencana datang timpa menimpa. Dicari sebabnya, dikaji puncanya, seakan-akan tidak terjumpa… mana tahu semuanya bahana derhaka kepada kedua ibu-bapa.
Dosa kita pada yang lain masih adalah istilah nanti dan tunggu. Tetapi dosa kepada ibu-bapa akan dibalas segera dan tiba-tiba. Sesetengah orang, hanya kerana dia telah menghulurkan bantuan ratusan malah ribuan ringgit sebulan kepada ibu-bapanya, dia telah menunaikan tanggungjawab… Jadi apabila ibu-bapanya “bersuara” sedikit, sudah berani dia membentak. Apa yang tidak cukup lagi? Apa lagi yang ibu hendak? Apa lagi yang bapa tidak puas hati?
Ingatlah, wang ringgit dan harta benda tidak akan mampu membalas jasa atau menebus bakti kedua orang tua kita. Bukan semua perkara dalam kehidupan ini boleh dibeli. Banyak perkara-perkara penting dalam hidup ini tidak boleh dinilai oleh kuantiti material dan fizikal yang kita ada. Antaranya, jasa dan bakti kedua ibu-bapa. Ia hanya boleh “dibayar” oleh kualiti jiwa bukan kuantiti harta.
Maksudnya, budi hanya dapat dibayar oleh budi. Jasa dengan jasa. Budi baik dan akhlak kita yang cantik sahaja dapat menyenangkan hati orang tua pada usia senja mereka. Layani mereka dengan baik, dengarlah cerita mereka (walaupun telah diulang berkali-kali), duduk berbual dengan mereka, membelai atau mengurut badan mereka dan yang paling penting sering menziarahi dan sentiasa berdoa untuk mereka.
Jangan lupa, satu hari kita juga akan melalui apa yang sedang lalui kini. Kita akan mencecah gerbang tua dan mengecap sisa-sisa umur dengan payah dan lelah seperti mereka… bagaimana kita saat itu? Tentukanlah nasib kita itu pada hari ini. Bagaimana? Taat, layan dan belai dengan penuh kasih sayang orang tua kita pada hari ini, insya-Allah anak-anak kita akan mengamalkan sikap yang sama terhadap kita pada akhir nanti.
Cerita dan nasihat ini bukan pertama kali kita dengar… tetapi semuanya diulang lagi kerana kita sering mengabaikan apa yang sering kita dengar. Kita sering menjadi umpama kelekatu yang melanggar lampu yang bercahaya sedangkan di bawahnya sudah begitu banyak kelekatu lain yang terkorban. Berapa banyak ikon anak derhaka dalam cerita rakyat seperti Sitanggang mahupun Malim Kundang yang kita benci dan caci, ironinya kita menjejak mereka tanpa kita sedari.
Sudah dianggap derhaka dengan mendecit perkataan “ah” kepada kedua ibu-bapa. Sudah dianggap melupakan mereka jika kita tidak mendoakan mereka selepas setiap kali mengerjakan solat. Sudah mengecilkan hati mereka jika sudah lama kita tidak menelefon ataupun menziarahi mereka di kampung… Oh, terlalu banyak kesalahan kita terhadap mereka. Dan apakah ini telah menyebabkan tertutupnya pintu kerahmatan dan keberkatan?
Rezeki banyak, tetapi tidak puas. Umur panjang, tetapi dipenuhi dosa. Masa lapang, tetapi hilang manfaat. Kesibukan yang memanjang, keresahan yang tidak berpenghujung mungkin sedang berlaku dalam hidup kita. Anak-anak degil. Isteri atau suami semakin degil dan tidak serasi… Apakah ini semua kerana dosa kita terhadap orang tua? Apakah Allah sedang murkakan kita?
Jika anda bertanya begitu, sila ulang baca ayat pertama pada awal tulisan ini!